Berubah demi WANG!

Salam bahagia semua….

Malam ni saya nak kongsi satu artikel daripada saudara Irfan Khairi yang cukup bermotivasi buat saya. Moga ia juga bermakna untuk anda semua…

 

Berubah demi WANG!

Oleh Irfan Khairi

Ramai yang membaca buku kewangan dan artikel kewangan serta tak kurang juga menghadiri seminar dan workshop kewangan. Pelbagai teknik kewangan dipelajari, namun, bulan demi bulan, tahun demi tahun, keadaan kewangan masih tidak berubah. Masih di takuk lama tanpa sebarang pembaikan.

Itulah lumrahnya. Sering terjadi, ilmu yang dipelajari tidak dipraktikkan. Maklumat yang diterima tidak diambil tindakan. Apa yang dipelajari dari bacaan mata atau pendengaran telinga, adalah sia-sia sahaja sekiranya tiada tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan kewangan diri sendiri dan keluarga.

 

Berikut adalah 3 tip dan strategi untuk mengubahkan diri anda demi wang…

  1.   Fikir Positif

Seringkali sebab utama kita tidak mengambil tindakan pada apa yang dipelajari adalah halangan yang diletakkan dalam minda sendiri. Perasaan tidak yakin pada diri sendiri dalam boleh melakukan sesuatu seperti berjimat, melabur atau memulakan perniagaan.

Halangan-halangan ini datang dalam bentuk fikiran yang negatif mungkin tiba daripada tiada sokongan orang keliling, atau kisah kegagalan yang pernah didengar mengsabotajkan diri dari melakukan sesuatu untuk berubah.

Untuk mengubah diri sendiri dalam meperbaiki keadaan kewangan, perubahan pertama perlu datangnya dari minda sendiri. Iaitu berfikir positif selalu.

 

  1.  Lakukan yang mudah dahulu

Tip dan strategi mudah kewangan seperti menyenaraikan perbelanjaan peribadi harian pun masih belum dilakukan, bagaimana pula tanggungjawab  yang lebih maju seperti mengawal wang keluar masuk dalam perniagaan?

Sebelum berlari, perlu pandai bejalan. Sebelum berjalan perlu pandai merangkak. Ramai antara kita bermula daripada bawah. Untuk memperbaiki dalam bidang kewangan ambil langkah demi  langkah semampu kita.

Terus melompat melakukan sesuatu yang lebih sukar dan maju selalunya akan tidak menjadi tanpa ilmu yang secukupnya pada tahap asas. Perkuatkan asas kewangan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu yang lebih maju.

 

  1.  Libatkan keluarga dan orang sekeliling

Mempunyai matlamat kewangan tanpa sokongan, pastinya sukar. Berbincang dengan suami, isteri atau orang tersayang mengenai matlamat kewangan anda. Sekiranya sudah berkeluarga, sokongan dan fahaman ahli keluarga tentang matlamat diri dan keluarga semestinya memainkan peranan yang penting. Agak sukar sekiranya matlamat kita tidak sehaluan dengan suami atau isteri.

Bagi yang masih bujang, dapatkan sokongan rakan sekeliling atau sekiranya tiada, dampingi mereka yang berjaya dalam kewangan untuk belajar dari pengalaman mereka. Bukan untuk meminjam duit, tetapi meminjam ilmu untuk diaplikasikan. Sekiranya kita dikelilingi oleh mereka yang berjaya dalam wang, lambat laun, kita juga akan tahu cara terbaik untuk menjadi teladan.

 

irfan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge